LIMP BIZKIT: Pilih Malaysia Sebagai Satu-Satunya Destinasi ‘One-Stop Asia Show’ Disember Ini

oleh SAR

Akhirnya penantian 3 Dekad Band Nu Metal bakal membuat konsert di Malaysia Disember ini. SAR

KUALA LUMPUR – Berita gembira buat semua pengikut setia irama nu-metal dan alternative rock! Kumpulan legenda tersohor dari Amerika Syarikat, Limp Bizkit, secara rasminya mengumumkan bakal menggegarkan pentas Malaysia buat pertama kali dalam sejarah penubuhan mereka.

Konsert berskala mega yang diberi nama Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show ini dijadualkan berlangsung pada 9 Disember 2026 bertempat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Kuala Lumpur Jadi Hub Eksklusif Asia

Apa yang menarik, pengumuman oleh pihak penganjur, Hitman Solutions, mengesahkan bahawa Kuala Lumpur merupakan satu-satunya destinasi persinggahan bagi Fred Durst dan rakan-rakan di rantau Asia sepanjang tahun ini.

Keputusan eksklusif ini dijangka bakal menarik kehadiran puluhan ribu peminat fanatik bukan sahaja dari dalam negara, malah dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand, dan Filipina yang pastinya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

CEO dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyatakan rasa teruja beliau atas pencapaian ini:

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat besar, bukan sahaja buat kami sebagai penganjur, tetapi buat semua peminat muzik rock dan alternatif di seluruh rantau ini. Selama lebih tiga dekad, Limp Bizkit telah mencorakkan bunyi dan budaya rock moden, namun peminat di Malaysia belum pernah berpeluang merasai pengalaman menyaksikan mereka secara langsung di sini.”

Netizen Mula Teruja

Limp Bizkit yang mula meledak pada akhir era 90-an dan awal 2000-an terkenal dengan barisan lagu hits bertaraf anthem seperti Rollin’ (Air Raid Vehicle), Break Stuff, My Way, dan Nookie. Band yang sinonim dengan imej topi merah Fred Durst dan petikan gitar kreatif Wes Borland ini juga cukup dikenali dengan gaya persembahan yang agresif, bertenaga, dan lirik yang berani.

Menjenguk ke laman sosial, rata-rata peminat tempatan menyambut hantaran ini dengan keterujaan yang luar biasa. Bagaimanapun, ada juga yang sempat berseloroh mengenai penyesuaian lirik memandangkan lagu-lagu kumpulan ini sarat dengan bahasa yang kasar.

Maklumat Tiket & Kategori

Bagi anda yang sudah bersedia untuk ‘headbanging’, jualan tiket rasmi akan mula dibuka pada 30 Jun 2026 (Selasa) bermula jam 12:00 tengah hari menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Harga tiket ditawarkan mengikut 4 kategori utama bagi memenuhi keselesaan peminat:

 CAT 4: RM398

 CAT 3: RM498

 CAT 2: RM598

 CAT 1: RM698

 Rockzone (Berdiri): RM498

 Rockzone Early Entry: RM786

Memandangkan ini adalah satu-satunya konsert Limp Bizkit di Asia bagi tahun 2026, persaingan untuk mendapatkan tiket diramal sengit. Jadi, pastikan anda menetapkan penggera (alarm) masing-masing pada 30 Jun ini agar tidak berputus asa di dalam ‘que’ sistem tiket kelak! – SAR